Rabu, 22 Jun 2011

HIDAYAH ITU BUKAN MILIKKU

Nurul Ashikin | 5:56 PTG |

“Amru, macam mana nak cegah kemungkaran dalam keluarga kita sendiri?”  
“Kemungkaran? Ekstrimnya istilah yang kau guna. Hehe.” 
“Habis tu nak guna apa?” 
“Ok ok, tenang. Aku bergurau je. Hmm.. Kemungkaran macam mana tu, Hasan?” 
+++ 
Ukhuwwah. Amru dan Hasan merupakan dua orang ikhwah yang selalu bersama sejak di bangku sekolah lagi. Mereka menerima tarbiyah di sana sejak Tingkatan 4. Mereka berdua telah merancang sejak dari awal lagi untuk menyambung pelajaran di satu IPT yang sama, agar mereka bersama-sama dapat meneruskan usaha mentarbiyah diri dan mentarbiyah orang lain di IPT. 
Walaupun mereka sedar bahawa cabaran dakwah di IPT pastinya berbeza dengan cabaran dakwah di sekolah lama mereka. Namun dengan berbekalkan semangat dan kefahaman yang sangat kukuh. Mereka berdua terus tsabat atas jalan tarbiyah dan dakwah hingga kini. 
+++ 
Amru bertanya kepada Hasan. 
“Hasan, cuba kau bagi case study siket. Mudah kita nak detect apa problem yang sebenarnya. Daripada kita terawang-awangan macam ni. Masalah tak selesai nanti.”
“Hmm.. Macam ni lah, aku rasa kau pun tahu kan, keluarga aku tak solat.” Hasan membuka kisah.
“Hmm.. jadi?" 
“Jadi, aku nak minta pendapat kau lah, apa yang patut aku kena buat?” 
“Sebelum aku cakap mengenai apa yang kau kena buat, cuba kau cerita dahulu, apa yang kau dah buat?” 
“Kenapa pula?” 
“Ya lah, biar masalah ini semakin jelas seperti bulan purnama.” Amru berseleroh. Mereka berdua tertawa kecil bersama. 
+++ 
Hasan lahir dari satu keluarga yang berada. Ditambah lagi dengan kelebihan dari segi paras rupa yang kacak, dan pandai bergaya. Sememangnya Hasan menjadi tumpuan ramai gadis sejak dia Tingkatan 3 lagi. Namanya selalu kedengaran disebut oleh gadis-gadis di sekolah tempat mereka belajar. Sebelum ditarbiyah, Hasan sememangnya terkenal dengan title pelajar yang paling kaya, dan juga pelajar yang paling diminati oelh pelajar perempuan. 
Namun, dengan huluran cinta dari Allah. Hasan mula membuka matanya apabila dia mendengar pengisian dari seorang abang yang tidak dikenalinya, abang Irfan. 
+++ 
“Siapa nama kamu?”, abang Irfan, murobbi mereka bertanya.  
“Hasan.”  
“Hasan. Nama yang cantik. Jadi, memandangkan nama Hasan itu cantik, abang nak tanya soalan lah.” Gelak mula memenuhi surau. Ketika itu ada tujuh orang pelajar yang turut sama berhalaqoh. Termasuk Amru, insan yang menarik Hasan. 
“Apa tujuan hidup kita?”  
“Err.. Beribadah?” 
“Ya, betul. Ibadah. Surah ke-51 ayat ke -56. Tapi, apa pula maksud ibadah?” 
“Err..” 
“Yang lain macam mana? Ada yang nak membantu? Siapa dapat abang bagi gula-gula.” Abang Irfan sekadar berjenaka, untuk menaikkan semula antusias anak halaqohnya. Mereka semua terdiam. Lihat satu sama lain sambil mengangkat kening dan bahu masing-masing. 
“Ibadah itu berasal dari perkataan ‘ain-ba-da, atau ‘abd, lebih biasa kita panggil abdi. Simply to say, ibadah itu bermaksud mengabdikan diri. Ibadah kepada Allah, maknanya mengabdikan diri kepada Allah.” 
“Ooo.” Suara spontan yang terpacul dari hampir semua yang hadir. 
“Dan apa itu islam?” 
“Amru?” 
“Selamat?” jawab Amru dengan nada tidak yakin dan seolah-olah meminta kepastian. 
“Selamat? Macam tak yakin je dengan jawapan antum sendiri.” Abang Irfan memprovokasi bagi mengajar erti membela pendapat dalam diri Amru. 
“…” 
“Antum semua kena yakin, akhi. Ini ana, orang Islam yang bertanya, mungkin tidak ada masalah sangat. Tapi, cuba bayangkan jika tiba-tiba ada amoi datang kat kita tanya, 
“Amru aa, apa itu maksud Islam?’ Abang Irfan meniru loghat cina dalam melakonkan nada amoi yang disebut tadi. Sekali lagi surau tu bergema. Namun terus dipotong oleh abang Irfan. 
“Apa yang kamu nak nak jawab? Kalau kamu sendiri tak yakin dengan apa yang kamu ada.” 
Semua terdiam. Semua kelihatan berfikir. Hasan mula menanti-nanti akan setiap kata yang ingin dilontarkan oleh abang Irfan. 
“Islam itu ketenangan. Islam itu pengabdian. Islam itu kecintaan. Ketenangan yang kita akan rasai apabila kita mengabdikan diri kita seluruhnya hanya kepada Allah semata-mata hanya atas dasar cinta kita kepada Allah itu sendiri.” Abang irfan merendahkan suaranya, dan surau seakan tidak berpenghuni. Terdiam. 
Hari itu menjadi satu turning point bagi Hasan untuk memperbaiki dirinya dari yang sebelumnya. Hasan merasakan dirinya sangat hina kerana tertipu dengan pelbagai kesenangan yang dia ada selama ini. Duit yang dia ada. Penampilan yang dia ada. Juga rupa paras yang dia ada selama ini bukannya menjadikan dia semakin dekat dengan Allah. Malah semakin menjauh. 
“Dan Kami pecahkan di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan bencana yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)”  
[QS al-A’raf, 7:168] 
Semua kerana kebijakan helahnya Amru dalam mengajak Hasan ke surau pada petang itu. Namun, tangan yang mengatur di sebalik segalanya itu pasti Allah. 
+++ 
“Aku dah tegur dah mereka. Secara kasar dah buat. Secara halus pun dah buat. Tak jalan gak. Macam mana ni?”
“Kau tegur mak ayah kau?!” 
“Ya lah. Kan kita kena cegah dengan tangan atau kuasa, kalau tak dapat, kena cegah denagn lidah. Lepas tu baru hati. Tu yang aku tegur. Salah ke?" 
“Hasan. Apa yang kau buat tu tak salah. Tapi, mungkin kurang tepat.” 
“Kurang tepat?” Hasan kepelikan. 
“Ya. Cegah kemungkaran itu memang patut. Tegur tu pun tak ada masalah. Cuma… Kurang tepat.” 
“Maksud kau?”  
“Baik. Cuba kau lihat apa kata Allah dalam surah ke-16 ayat ke-125.”  
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah* dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yamg lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” 
[QS an-Nahl, 16:125] 
+++ 
“Amru, kalau abang tu datang lagi next week. Bagi tahu aku ya.” 
“Ok. Tak de hal. Tapi nanti aku takut kau pula yang menolak.” 
“Erm.. insya-Allah, Amru. Aku rasa, aku kena berubahlah.” 
“Kau nak jadi apa? Power Rangers kuning?” 
“Woi! Bukan tu! Aku serius ni..” Wajah Hasan memerah. 
“Hehe.. ok ok. Maafkan saya ya. Tenang friend.” Amru mengembalikan semula ketenangan dalam rakannya itu. 
“Aku rasa aku perlu ubah cara hidup aku. Selama ni aku pun tak tahu lah, apa yang aku kejar dalam hidup aku. Nak perempuan, mudah je aku boleh dapatkan. Duit? Lagi mudah. Tak payah cerita banyak. Tapi, bila abang tadi tu cakap pasal ayat tentang “belum sampai masa” tu. Aku terfikir juga. Mungkin betul apa yang dia kata.” 
“Ayat ni ya?” Amru membacakan maksud ayat yang dijumpainya dalam al-Qur’an terjemahannya. 

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik." 
[QS Al-Hadid, 57:16]
“Yup.”  
“Ni bukan dia abang tu yang kata. Ini Allah yang kata.” 

Hasan mula memikirkan bahawa betapa hinanya dia kerana tidak mampu melihat siapa tangan yang melakukan semua yang baru sahaja berlaku ke atas dirinya. Sejak hari itu, Hasan terus bertekad untuk melakukan hijrah. Hijrah ke arah kebaikan. Menuju destinasi syurga setelah matanya yang lama terlena leka dengan buaian kegelapan dunia mulai terbuka.
+++ 
“Apa maksud hikmah?” Amru mencetuskan persoalan kepada Hasan 
“Baik?” 
“Ha. Itulah orang Melayu. Sebut je hikmah, mulalah terbayangkan lemah lembutlah, baiklah, tak terasalah, tak directlah. Sedangkan, cuba tengok dekat foot note bawah tu ada apa? Cuba bacakan.”  
“Perkataan yang tegas dan benar yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil” 
“So?” 
“So betullah aku buat? Apa yang kurang tepat?” 
“Ok. Cuba tengok hujung ayat tu.”  
“Yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil” 
“Tercapai tak matlamat tu?” Amru mengajukan persoalan kepada Hasan. 
“Ya lah, tapi..” Hasan cuba menjawab. 
“Tapi tak tercapai kan? Kerana apa?” Amru memotong kata-kata Hasan. 
“…” Hasan hanya membisu. Memerhatikan wajah Amru dengan wajah agak kurang senang. 
“Tegas tu mungkin kau betul. Tapi, benar tu kau tak de. Jadi, separuh markah sahaja untuk anda. Tett!” Amru cuba menceriakan suasana kembali. 
“Maka dengan sebab rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mencintai orang yang bertawakal.” 
[QS Ali ‘Imran, 3:159] 
+++ 
“Akhlak kau pula macam mana pula kat rumah?” 
“Macam itu lah.” 
“Ya lah. ‘Itu’ tu apa?” 
“Hehe. Aku ok je kat rumah.” 
“Kau solat ajak mereka tak?” 
“Mestilah ajak. Tu yang kadang-kadang sampai berdebat tu.” 
“Kau berdebat?” 
“Ya lah. Dah dia tak nak buat. Aku tegurlah. Pastu dia marah aku balik. Mana boleh aku biarkan mereka terus duduk dalam kemungkaran.” 
“Pernah tak kau jumpa orang yang berdebat, semata-mata untuk kalah?” 
“Err. Tak.” 
“Sama juga dengan mereka tu. Walaupun mereka tahu mereka itu salah, tapi sebab ianya perdebatan. Maka mereka pasti akan mempertahankan prinsip mereka sendiri. Terutamanya orang-orang yang lebih tua dari kita. Abang ke, ayah ke, mak ke. Sama je semua tu.” 
“Tapi, takkan nak biarkan saja?” 
“Habis tu nak buat apa?” Amru membalas satu pertanyaan dengan pertanyaan yang lain. 
“…” 
+++ 
Sehari selepas halaqoh. 
Azan subuh berkumandang sayu. Namun dipecahkan dengan suara, 
“Kamal! Bangun! Solat subuh!!!” Hasan mengejut teman sebiliknya. 
“Kamal! Bangun!!! Kau nak masuk neraka ke?” 
“Hoi Hasan! Kau pergilah masuk syurga sana. Nak jadi baik konon. Aku nak tidur lah!” Kamal menarik selimutnya sehingga menutupi kepalanya. Dan terus tidur. 
Amru yang kebetulan terdengar apa yang berlaku terus memanggil Hasan untuk ke solat surau. 
“Hasan. Aku nak kau istighfar, dan tunggu aku di surau.” 
Hasan yang sedang dalam keadaan marah cuba mengawal dirinya dan terus menuju ke surau sambil mulutnya mengucapkan istighfar. 
Amru menuju ke katil Kamal dan mengejutkan Kamal dengan nada dan akhlak yang sangat berbeza dengan cara Hasan tadi. 
“Kamal.. Jom solat. Kejap je. Lepas solat nanti tidurlah balik.” 
Kamal mula bangun dan solat di dalam biliknya sahaja. Hasan memerhati sambil merasa malu terhadap dirinya. 
+++ 
“Jaga akhlak kau, Hasan.” 
“Maksudnya?” 
“Hidayah ini berasal dari akar kata yang sama dengan hadiah. Ha-da-yah. Cuba bayangkan, kita kata kita nak bagi hadiah kat seseorang, tetapi kita bagi pada dia dengan cara melempar. Agak-agak dia ambil tak hadiah tu?” 
“Erm.. Kalau mahal ambil lah kot.” 
“Hehe. Orang kebanyakannya takkan ambil. Dan sebab dia tidak ambil itu bukan sebab hadiah itu tak berharga atau tak lawa kebanyakkannya, tetapi kerana cara kita yang yang salah dalam memberi.” 
+++ 
“Hasan. Bangun, abang Irfan dah sampai kat bawah tu.”  
“Haa?? Aku ngantuk lah.” 
“Ngantuk?!” 
“Hmm..” Hasan membalas seperti tidak sedar apa yang berlaku. 
“Hasan. Kau kata kau tekad nak berubah. Tapi kalau macam nil ah sikap kau. Macam mana kau nak expect perubahan tu akan berlaku?” 
“Hmm..” sekali lagi. 
Maka tiba-tiba..
‘Zapp!’ 
Hidung Hasan dijentik oleh Amru. 
“Ha?! Apa kau cakap tadi?” Hasan mulai sedar dari keadaan separuh sedarnya. 
“Hehe. Cepat siap. Jom turun bawah. Halaqoh.” Sambil menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. 
“Oo. Ok ok..” 
+++ 
“Tapi, aku mahu sangat keluarga aku berubah. Aku tak nak lah jadi baik seorang diri.” Hasan mula beremosi sedih. 
“Macam ini, Hasan. Pernah dengar kisah Nabi Muhammad denagn pakcik dia sendiri yang tak mahu masuk Islam?” 
“Siapa?” 
“Abu Talib.” 
“…” 
“Aku rasa kita semua tahu mengenai betapa sayangnya Rasulullah SAW terhadap Abu Talib. Betapa berusahanya Rasulullah SAW nak mengislamkan pakciknya itu sampai ke tahap orang tu nak mati pun, dia masih cuba mengajarkan syahadah. Tapi, islam tak pakcik dia tu?” 
“Tak.” 
“Jadi, pengajaran yang kita boleh ambil kat sini ialah teruskan berusaha. Jangan putus. Sampailah mereka itu nak mati nanti atau sampai lah kita mati. Cuba sehabis baik untuk ubah mereka. Mungkin sahaja mereka akan berubah selepas kita tak de nanti, siapa tahu?” 
“Tapi, aku nak tengok diorang berubah. Kalau nak mengharapkan dapat solat berjemaah sama-sama kat rumah tu mungkin susah. Tapi, at least mereka tu solat pun dah cukup lah.”  
“Bacakan surah al-Baqarah ayat ke-272.” 

“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Apa pun harta yang kamu infakkan, maka (kebaikannya) untuk dirimu sendiri. Dan janganlah kamu berinfak melainkan kerana mencari redha Allah. Dan apa pun harta yang kamu infakkan, nescayya kamu akan diberi (pahala) secara penuh dan kamu tidak akan dizalimi (dirugikan).” 
[QS al-Baqarah, 2:272] 

“Cuba ulang ayat pertama tu tadi.” 

“Bukanlah kewajipanmu (Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki.” 
[QS al-Baqarah, 2:272] 

“Hidayah itu milik Allah. Kita hanya mampu berusaha.” 
“Tapi, aku sayangkan mereka.” Hasan mula berkaca.
“Maka kau kena terus berusaha.” Amru menepuk bahu ikhwahnya itu.

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhan-mu, dan agar kami bertakwa.”  
[QS al-‘Araf, 7:164]



"Allah bersamamu Nor Adli Hakim"
khir al-imtiaz
19-06-2011
0100am


http://mohamadkhirjohari.blogspot.com/2011/06/cerpen-hidayah-itu-bukan-milik-kamu.html

Comment With:
OR
The Choice is Yours!

1 ulasan:

Apesal.com