Khamis, 4 Ogos 2011

BERSATU DI KELAS AGAMA

Nurul Ashikin | 11:11 PTG |

http://www.kosmo.com.my/




PERTEMUAN di kelas agama ternyata telah memberi satu wadah perjuangan baru kepada beberapa bekas ahli tiga buah kumpulan yang sememangnya cukup popular dengan lagu berentak R&B dan Soul.
Jika sebelum ini kebanyakan lagu-lagu mereka lebih menjurus ke arah mencintai wanita, kini lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lebih kepada mencintai Allah dan Rasulullah.
Itulah yang kini diperjuangkan oleh Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Abdullah Ahmad (Lah VE), Zafri Nazarudin (Zaf VE), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) dan Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge)
.
Amer yang mewakili ahli kumpulannya itu berkata, memandangkan minat mereka yang tetap mendalam terhadap muzik sejak dulu lagi, kini mereka sepakat untuk meneruskan karier nyanyian dengan lagu-lagu yang menjurus kepada agama.
"Selama ini kami memang berkawan antara satu lain, namun kali ini kami dipertemukan dan bersatu melalui sebuah kelas agama yang telah dihadiri sejak beberapa tahun yang lalu.
"Apabila sering bertemu di kelas agama, kami telah berbincang tentang pendekatan yang lebih sesuai dilakukan memandangkan minat terhadap muzik itu masih ada dan akhirnya tertubuhlah sebuah kumpulan nasyid yang diberi nama Al Mawlid," ujarnya.
Menurut Amer, ketika ini ahli kumpulan nasyid tersebut dianggotai oleh tujuh orang termasuk Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj Innuendo), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode Ruffedge), tetapi buat masa ini cuma mereka berlima yang akan bergerak secara aktif terlebih dahulu.
Ujarnya, sejak beberapa tahun yang lalu, mereka semua mengikuti kelas agama yang dibimbing oleh Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid pada setiap hari Jumaat di Surau Al Hidayah, AU3 Keramat dan hari Ahad di Madras Annur, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Ditanya tentang pengajian kelas agama yang diikuti mereka, Amer menjelaskan, mereka mempelajari ilmu Talaqi yang merangkumi empat bidang pengajian iaitu ilmu Tauhid, Tasauf, Hadis dan Feqah.
"Boleh dikatakan cara pembelajaran kami di kelas agama ini adalah lebih cara tradisional iaitu mempelajari ilmu agama menerusi kitab dan akan dibimbing oleh seorang guru agama," ujarnya.
Mengenai nama kumpulan pula, mereka sepakat untuk dikenali dengan nama Al Mawlid yang bermaksud kelahiran Rasulullah dan ia merupakan satu simbolik kepada kelahiran semula mereka dalam bidang nyanyian menerusi wadah perjuangan yang baru.
"Pada mulanya kami agak risau juga sekiranya apa yang kami lakukan ini tidak mendapat persetujuan daripada guru agama kami. Alhamdulillah, beliau ternyata tidak menentang, memberi sepenuh sokongan kepada kami.

GABUNGAN daripada grup Innuendo, Ruffedge dan VE kini membentuk sebuah grup baharu yang diberi nama Al Mawlid.


"Bagaimanapun, kami tidak mahu dilabel sebagai kumpulan dakwah kerana masih belum layak lagi. Matlamat kami adalah untuk menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat menerusi nyanyian," ujarnya.
Sementara itu, Azan pula menjelaskan nyanyian juga sebenarnya boleh dijadikan medium kepada penyampaian mesej-mesej yang positif dan mereka sendiri cukup tertarik dengan lagu-lagu Qasidah.
Menurutnya, mereka sendiri begitu tertarik dan kagum dengan keindahan lagu-lagu Qasidah yang mempunyai irama yang sangat indah dan lirik-liriknya yang banyak memuji Allah dan Rasulullah.
"Memandangkan kami semua sudah mempunyai pemahaman tentang muzik, jadi kami merasakan tidak ada halangan untuk meneruskan penglibatan dalam bidang muzik dan akhirnya tertubuhlah Al Mawlid," ujarnya.
Jadual padat
Sempena dengan kehadiran bulan Ramadan yang mulia, sudah menjadi kebiasaan kepada kumpulan-kumpulan nasyid yang akan diundang untuk membuat persembahan terutamanya ketika majlis berbuka puasa.
Meskipun kumpulan Al Mawlid boleh dikatakan baru sahaja ditubuhkan, namun Amer mengakui jadual mereka ternyata cukup padat bagi memenuhi undangan untuk membuat persembahan sepanjang bulan puasa ini.
"Alhamdulillah, jadual kami untuk bulan Ramadan pada tahun ini memang padat dan memang agak sukar untuk ditolak kerana kami akan berusaha untuk memenuhi hasrat pihak yang telah mengundang kami.
"Pada mulanya kami tidak menyangka akan mendapat undangan membuat persembahan yang banyak memandangkan Al Mawlid masih lagi baru. Bagaimanapun, itu semua adalah rezeki untuk kami menghiburkan orang ramai pada bulan yang mulia," ujarnya.
Walaupun merasakan rezeki mereka tidak lagi mewah seperti dulu setelah bergabung dan membentuk sebuah kumpulan nasyid, Amer memberitahu ia bukanlah sesuatu yang perlu digusarkan.
Menurutnya, selain menyanyi, setiap ahli kumpulan Al Mawlid juga mempunyai kerjaya masing-masing, meskipun setiap undangan membuat persembahan turut dijadikan sumber pendapatan sampingan.
"Fokus kami buat masa ini adalah mahu menggunakan bakat muzik yang dikurniakan oleh Allah untuk mengembangkan lagi syiar-syiar Islam menerusi lagu-lagu yang berunsur nasihat," jelasnya.
Mengenai album pula, buat masa ini mereka merancang album Al Mawlid dihasilkan menerusi konsep kompilasi, di mana setiap ahli kumpulan akan menghasilkan single masing-masing dan kesemua lagu single tersebut akan digabungkan untuk menjadi sebuah album.
Jelas Amer, setakat ini dia sendiri telah menghasilkan single yang pertama berjudul Cahaya Seluruh Alam, manakala Pot pula menghasilkan lagu berjudul Belaian Jiwa 1432 dan Lah pula akan keluar dengan single berjudul Yang Penuh Dosa.
Kisah tersendiri

INI adalah persembahan sulung Al Mawlid iaitu di pelanjaran program Ramadan stesen televisyen AlHijrah pada bulan lalu.


Di sebalik penghijrahan yang dilalui oleh setiap anggota kumpulan nasyid Al Mawlid ini, sebenarnya masing-masing mempunyai kisah tersendiri dalam usaha untuk mencari erti kehidupan yang lebih bermakna.
Bagi Amir, dirinya mula terdetik untuk berubah apabila dia berkeinginan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang diri Rasulullah yang juga dikenali sebagai kekasih Allah.
"Dalam usaha untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai peribadi Nabi Muhammad, saya banyak membaca buku-buku berkenaan baginda. Kemudian timbul perasaan kagum terhadap pujian ke atas baginda yang berjuang menegakkan syiar Islam.
"Sebenarnya saya sudah ada keinginan untuk berubah semenjak bersama kumpulan Ruffedge lagi, tetapi tetap bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berubah dan sekarang ini saya akan pastikan solat saya cukup lima waktu serta mahu menjadi seorang manusia yang lebih baik," ujarnya.
Sementara itu, Zaf yang turut berkongsi cerita tentang perubahan yang dilaluinya memberitahu bahawa sejak belum berkahwin lagi dia sudah merasakan kekosongan di dalam hatinya.
Kemudian dia cuba untuk mengubah cara kehidupannya dengan mendekatkan dirinya dengan Allah, tetapi mengakui bahawa pada masa itu dia berbuat demikian hanya semata-mata kerana mahu mendirikan rumah tangga.
"Tidak lama selepas saya berkahwin, akhirnya saya mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan VE. Bagaimanapun, apa yang menghairankan, saya terus berasa kekosongan di dalam hati.
"Walaupun terus diberikan rezeki oleh Allah, saya cuba untuk mencari jawapan terhadap kekosongan yang dialami dan pada masa yang sama saya berusaha untuk mendalami ilmu agama," jelasnya.
Tambahnya lagi, hanya pada tahun lalu dia telah dipertemukan dengan Amir setelah kedua-duanya terserempak di sebuah masjid di Taman Tun Dr. Ismail setelah empat tahun tidak berjumpa.
Ujarnya, pada pertemuan yang tidak disangka itu, Amir telah menggunakan peluang yang ada untuk menceritakan perubahan yang dialami serta mengajaknya untuk mengikuti kelas agama yang dihadirinya.
"Sememangnya saya merasa agak sebak juga dengan apa yang diceritakan oleh Amir tentang pengalaman yang dilaluinya dan kemudian saya bersetuju untuk sama-sama menyertai kelas agama tersebut sehingga sekarang," ujarnya.
Menurut Zaf, dia mengakui sekarang telah menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia serta sudah menemui jawapan sebenar tentang kekosongan hatinya selama ini.
Berbanding dengan kisah Amir dan Zaf, seorang lagi anggota Al Mawlid iaitu Azan menyatakan detik perubahan terhadap dirinya mula berlaku setelah melalui kegagalan dalam kerjayanya.
"Akhirnya mula timbul kesedaran dalam diri untuk berubah kerana masih lagi diberi peluang oleh Allah meneruskan kehidupan. Saya anggap kegagalan yang dilalui itu sebagai muhasabah diri untuk mendekatkan diri kepada Allah," ujarnya.

Comment With:
OR
The Choice is Yours!

Tiada ulasan:

Apesal.com