Jumaat, 5 Ogos 2011

PUAS JAYAKAN WATAK LELAKI/WANITA IDAMAN DALAM KETIKA CINTA BERTASBIH

Nurul Ashikin | 2:38 PTG |
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my
pix_middle
BIARPUN karier seni di Indonesia baru bermula, lakonan mantap Kholidi Asadil Alam, 22, dan Oki Setiana Dewi, 22, sebagai bintang utama filem dan sinetron popular, Ketika Cinta Bertasbih (KCB) nyata berjaya melonjakkan nama dan populariti mereka.

Kini, sama ada di Indonesia mahupun penonton negara ini siapa yang tidak kenal dan ingin menjadi seperti Abdullah Khoirul Azzam dan Anna Althafunnisa yang wataknya digarap sebagai anak muda berpendidikan tinggi dan berpegang teguh kepada agama.
   

  • Foto Odi




    • .
    • Foto.
    Hanya bersandarkan KCB yang diadaptasi daripada novel nukilan penulis terkenal, Habiburrahman El Shirazy, bakat lakonan Kholidi atau mesra dengan panggilan Odi dan Oki cukup terserlah. Bahkan, kini mereka antara artis sinetron terlaris di Indonesia.

    Sejak filem KCB dan KCB 2 meletup di pawagam pada 2009, tahun lalu pula kisah pasangan muda yang kuat pegangan agamanya ini dilanjutkan kepada sinetron. Ia bermula dengan Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadan dan Ketika Cinta Bertasbih Meraih Ridho Illahi.


    Kini, kisah dan konflik hidup Azzam dan Anna diteruskan dengan pembikinan sinetron Dari Sujud Ke Sujud yang sudah ditayang di Indonesia bermula 25 Julai lalu. Apapun, kisah yang hebat ini dijangka menemui penonton tempatan pada November nanti.

    Foto
    Justeru, bagi menyaksikan kisah menarik masyarakat ini, ia dapat ditonton menerusi pakej Indo Pek, saluran Bintang 141 Astro. Bukan saja saluran Bintang, pakej Indo Pek turut memuatkan saluran Pelangi (142) yang menyiarkan 100 peratus filem dari Indonesia.

    Bersua dengan Odi dan Oki di lokasi penggambaran musim ketiga KCB yang judulnya ditukar kepada Dari Sujud Ke Sujud di Bogor, Indonesia bersama Ketua Pegawai Eksekutif Broadway Media Sdn Bhd, Boon Tan baru-baru ini, nyata pengalaman yang indah untuk dikongsi.

    Odi dan Oki, kedua-duanya mengakui mereka tidak pernah menduga KCB akan mendapat sambutan sehebat sekarang daripada penonton di Indonesia dan Malaysia.
    Barangkali, ia disebabkan novelnya yang turut menjadi perhatian ramai.

    Apapun, Odi berkata sepanjang tiga tahun dia membintangi KCB, tak dinafikan ia membantu melonjakkan namanya. Ujarnya, sekalipun karakter Azzam itu ialah lelaki berusia 28 tahun, watak berkenaan banyak membantu mematangkannya.

    Foto
    “Karakter Azzam yang digarapkan Kang Habib (penulis novel dan skrip) sangat unik. Justeru, bagi yang sudah membaca novel KCB terutama lelaki, pasti ingin menjadi seperti Azzam. Tidak terkecuali, golongan wanita tentunya ingin memiliki pasangan sebaik Azzam.

    “Apa yang boleh dikatakan, Azzam ialah gambaran pemuda idola ramai disebabkan keperibadian dirinya yang tenang dalam menangani hal berkaitan peribadi, keluarga dan pasantren (sekolah pondok) ditubuhkan,” katanya bersyukur dapat bekerjasama dengan pengarah senior seperti Chaerul Umam.

    Ditanya apakah dia selesa melakonkan watak lelaki dewasa, Odi berkata ia cukup mencabar dirinya. Namun, mujur ada Chaerul Umam yang banyak memberi bimbingan kepadanya bagaimana bermain emosi dengan baik dan cara melontarkan intonasi dialog.



    Oki akui impikan watak Anna


    BAGI Oki, dia sememangnya bersyukur kerana watak Anna akhir berjaya menjadi miliknya. Ujar Oki, sebelum menyertai uji bakat watak itu, dia lebih dulu sudah membaca novel KCB. Katanya, justeru dia teringin sangat menjadi Anna yang realiti.

    “Anna yang digambarkan adalah seorang gadis bersopan santun dan berbakti pada usia muda. Syukur, setahun selepas membaca novel KCB, peluang dibuka untuk mencari pelakon sesuai bagi watak Anna dan saya ketika itu hanya mencuba nasib.

    “Ditambah pula, saya berjilbab (tudung). Maka, dirasakan watak Anna cukup sesuai. Apa yang pasti, selepas melakonkan watak ini, ia akhirnya mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita berjilbab yang kurang diberi perhatian.

    “Saya mengambil keputusan berjilbab pada usia 16 tahun. Ketika itu, ramai pihak memandang sinis dengan mengatakan jika berjilbab takkan mampu berjaya. Oleh itu, saya berharap kepada Allah supaya memberikan yang terbaik buat diri ini.

    “Jika berjilbab, jalan benar yang saya pilih maka tolong permudahkan. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar dan saya berjaya mendapatkan watak Anna dalam KCB,” katanya yang sudah menghasilkan sebuah novel sendiri, Melukis Pelangi - Catatan Kisah Oki Setiana Dewi.

    Mengulas mengenai novelnya, Oki berkata novel itu memuatkan keseluruhan kisah hidupnya. Ketika itu, dia diuji Allah dengan dugaan besar apabila ibu tersayang, Yunifah Lismawati disahkan menghidapi penyakit kronik, Pemphigus Vulgaris (gangguan imun) yang sukar disembuhkan.

    “Sebagai anak sulung dalam keluarga, hati saya cukup sedih apabila dimaklumkan doktor bahawa ibu gagal disembuhkan. Justeru, ketika itulah saya banyak berdoa dan mendekatkan diri kepada Tuhan seterusnya mengambil keputusan untuk berjilbab.

    “Dalam soal ini, apa yang saya muatkan dalam buku yang ditulis ialah setiap orang ada kisah masing-masing untuk menuju ke jalan Allah. Tak dinafikan, ketika saya mula berjilbab sememangnya banyak dugaan harus dilalui. Namun, saya yakin ada hikmah di sebaliknya,” kata Oki.

    Menyentuh soal kesihatan ibunya, Oki berkata ibu tetap masih sakit hingga sekarang, tetapi tidaklah serius dulu. Katanya apa yang pasti, dia kini lebih tenang dan berasa diri dekat dengan Yang Maha Esa. Malah, Oki juga kini dalam proses menyiapkan buku kedua.

    “Saya tidak pernah menduga buku pertama mendapat sambutan baik daripada pembaca. Oleh itu, sekarang saya dalam proses menyiapkan buku kedua yang judulnya, Melukis Pelangi juga tetapi kisah tertumpu kepada realiti kehidupan orang di sekeliling saya.

    “Setakat ini, 30 peratus sudah dapat disiapkan. Saya sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya berkongsi pengalaman indah ini. Cerita yang dituliskan ini banyak memberi ilmu dan pengajaran mengenai kehidupan,” katanya.

    Sebagai mahasiswa di Universiti Indonesia, Oki mengambil jurusan Sastera Belanda, Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya. Biarpun, sibuk di lokasi penggambaran, Oki memaklumkan dia perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran, karier dan menulis novel.

    Sehubungan itu, bagi penonton sinetron KCB, ia boleh ditonton di saluran Bintang setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5.15 petang. Namun, jika ketinggalan siaran ulangan secara maraton boleh ditonton di saluran Pelangi pada setiap Ahad, jam 8 hingga 11 pagi dan jam 4 hingga 6 petang.



    PROFIL ODI:

    NAMA: Kholidi Asadil Alam
    PANGGILAN PENTAS: Odi
    AGAMA: Islam
    ASAL: Pasuruan, Indonesia
    TARIKH LAHIR: 30 Mac 1989
    UMUR: 22 tahun
    KARIER: Aktor
    FILEM: Ketika Cinta Bertasbih, Ketika Cinta Bertasbih 2 (2009)

    SINETRON: Ketika Cinta Bertasbih - Spesial Ramadan, Ketika Cinta Bertasbih - Meraih Ridho Ilahi (2010), Dari Sujud Ke Sujud (2011)



    PROFIL OKI:

    NAMA: Oki Setiana Dewi
    PANGGILAN KOMERSIAL: Oki
    AGAMA: Islam
    ASAL: Batam, Indonesia
    TARIKH LAHIR: 13 Januari 1989
    USIA: 22 tahun
    KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
    KARIER: Aktres, penulis buku, pelajar
    FILEM: Ketika Cinta Bertasbih, Ketika Cinta Bertasbih 2 (2009)

    SINETRON: Ketika Cinta Bertasbih - Spesial Ramadan, Ketika Cinta Bertasbih - Meraih Ridho Ilahi (2010), Dari Sujud Ke Sujud (2011)

    ANUGERAH: Pendatang Baru Wanita Terbaik Indonesian Movie Award 2010, Pendatang Baru Wanita Favorit Indonesian Movie Award 2010

    BUKU: Melukis Pelangi - Catatan Oki Setiana Dewi, Melukis Pelangi
    PENDIDIKAN: Mahasiswa Sastera Belanda, Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya, Universiti Indonesia

    Comment With:
    OR
    The Choice is Yours!

    1 ulasan:

    Apesal.com